Sunday 20 January 2013

luahan hati tua itu



Hati seorang ibu mana yang tega dilukai oleh anak sendiri, anadai dahulu kita mendengar kisah si Tanggang anak durhaka,namun kini tanggang moden semakin berleluasa di atas muka bumi ini. Ibu-ibu tua yang tidak bermaya itu dibiar tanpa belas dan ihsan anak-anak sendiri. Lantas ibu dan bapa tua itu mengambil keputusan untuk tinggal dirumah orang-orang tua pabila tiada lagi anak yang sudi menemani dan menjaga hati tua itu.
Kisah seorang ibu tua yang tinggal sendirian selepas kematian suaminya.
Selepas kematian suaminya,nenek tua ini terus tinggal bersama anak perempuannya,siti,menantunya,zamri dan cucu-cucunya. Manakala anak-anaknya yang lain pula tinggal jauh mengikuti suami masing-masing,almaklumnya kesemua anak nenek tua ini adalah perempuan. Setelah sekian lama anaknya tinggal bersama,akhirnya Siti mengambil keputusan untuk membina rumah sendiri diatas tanah tidak berapa jauh dari rumah ibunya. Hati si ibu sedih, melihat anaknya itu sudah tidak mahu tinggal serumah dengannya sedangkan rumah yang ingin dibina itu hanya memerlukan sepeuluh langkah perjalanan unutk sampai.
"Ibu, Siti bukan tak nak tinggal dengan ibu, tapi cuba ibu tengok rumah ni, dah tunggu masa nak roboh je. Siti buat rumah ni pun sebagai persediaan,mana la tahu kalau-kalau rumah ni roboh esok, tak payah la susah-susah nak cari tempat tinggal. Ibu boleh la nak tumpang rumah Along ke Acik ke. Habis Siti anak beranak ni nak tumpang rumah mereka, tak nak la Siti, buat susah mereka je,nanti mereka kata apa pula. Lagipun tanah kat belakang ni bukan nya nak buat apa pun. Lagipun,ibu boleh duduk sekali dengan Siti. Rumah ni kita robohkan je la, bila rumah Siti tu dah siap." Terang Siti pada ibunya.
"Siti, ibu bukan larang Siti nak bina rumah tu. Tapi ibu sayang rumah ni Siti,disini lah segala kenangan ibu dengan arwah ayah kamu tersemadi. Di rumah ini la, ibu membesarkan kamu adik-beradik. Kalau boleh biarlah saat-saat terakhir ibu bersama rumah ni. Lagipun duit simpanan ibu masih ada, kita boleh baiki apa-apa yang rosak Siti. Duit tu boleh gunakan untuk kukuhkan lagi rumah ni. Nanti kalau ibu dah tak da pun kamu boleh terus tinggal kat rumah ni. Kan Siti?".
"Ibu, kita nak baiki atau kukuhkan lagi macam mana? Rumah ni memang tak da harapan untuk diperbaiki pun. Lagipun Siti tak suka la rumah sempit ni, Siti nak buat rumah yang lagi besar dan luas, boleh juga kalau anak-anak Siti nak main kejar-kejar ke dalam rumah."
"Tapi, ibu…."
"Dah la ibu, Siti tetap dengan keputusan Siti, lagipun Abang Zamri dah setuju dengan Siti." Lalu Siti pergi meninggalkan ibunya tanpa sempat si ibu mengatakan apa-apa.
Luluh hati ibu itu apabila anaknya tetap dengan keputusannya. Sebenarnya, buatkanlah niat hati ingin berpindah,tetapi lebih pada menyokong suaminya sendiri.
"abang, Siti rasa bersalahlah dengan ibu,tak patut kalau kita tinggalkan ibu macam tu je."luah Siti pada Zamri.
"Siti, abang dah tahan lagi nak tinggal dengan ibu. Abang tahu, yang ibu memang tak suka abang ni jadi menantu dia. Abang tahu yang abang ni kerja pun petani biasa je. Kasi pagi makan pagi. Tapi abang tak tahan kalau dia asyik nak peril-perli dan kutuk-kutuk abang." Keluh Zamri.
"Tapi ibu takkan bagi kita pindah abang."
"Pedulikanlah dia, barang dapur selama ni pun abang juga yang belikan. Dia tak bagi kita pindah sebab lepas ni dah tak ada orang yang nak belikan dia barang-barang dapur lagi dah. Itu pun kalau abang beli, bukannya dia tahu nak berterima kasih, siap tak nak guna lagi barang-barang tu."
Siti hanya mampu terdiam dan tidak mampu lagi nak membalas kata-kata suaminya.
Namun, tanpa mereka sedari, disebalik ruang yang terbuka di celah pintu itu, ada hati tua yang sedang terhiris duka mendengar setia bait-bait kata yang terlontar. Ibu mana yang tidak ingin melihat anak-anak mereka bahagia. Lantas semua keinginan si anak semuanya dipenuhi selama membesarkan mereka. Siti merupakan anak keempat daripada lima adik beradik dan merupakan anak paling manja dalam keluarga. Abangnya yang merupakan anak sulung telah meninggal dunia semasa berusia 19 tahun akibat kemalangan. Zamri merupakan pilihan hatinya untuk dijadikan suami setelah 3 tahun bercinta. Namun, ayah dan ibunya tidak berapa berkenan dengan Zamri. Namun, Siti mengugut untuk kahwin lari seandainya kedua ibu bapanya tidak mengizinkan. Bukan ibu dan ayahnya tidak bersetuju, tetapi memikirkan Zamri sangat terkenal dengan perangainya yang 'elok' di kampong itu, begitu sukar untuk mereka membuat keputusan. Zamri, bekerja dengan mengusahakan tanah sawah ayahnya. Namun sikapnya yang sangat menjelikkan ialah pabila dia suka bermain nombor ekor, berjudi dan menipu wang orang. Sikap-sikap itulah yang kurang digemari oleh ibu dan ayahnya.
Bukan kebahagiaan yang mereka bimbangkan, namun memikirkan rezeki yang bakal disuap ke mulut isteri dan anak-anaknya nanti bagaimana. Tak sanggup mereka membayangkan. Namun, disebabkan ugutan Siti, mereka mengalah dan mengahwinkan Siti dan Zamri. Namun mereka sempat berpesan pada Zamri agar mengubah sikapnya itu. Setelah berkahwin, Zamri mula berubah kearah yang lebih baik. Dia lebih rajin menjejakkan kaki ke surau dan kelas-kelas agama yang di anjurkan pihak surau.
Namun, perubahan itu tidak berkekalan apabila Zamri menghadapi masalah kewangan pabila tanah sawah yang diusahakan tidak membuahkan hasil yang mengutungkan. Malah, hasilnya rosak teruk diserang ulat-ulat. Tambahan lagi dia memerlukan wang ketika itu untuk membayar yuran persekolahan anaknya serta hutang-hutang yang bertimbun-timbun yang tergalas dibahu. Lantas, kegiatan lamanya kembali dilakukan. Dia kembali bermain nombor ekor, namun kegiatannya djalankan secara senyap-senyap agar tak terkesan oleh isteri mahupun ibu mertuanya. Namun, mulut orang kampong bukan boleh ditutup seperti tempayan, kegiatannya sampai jua ke pengetahuan ibu mertuanya. Hati tua itu remuk mengenangkan perangai menantunya, lalu, segala barang keperluan yang dibeli oleh menantunya tidak disentuh dan digunakan. Dia lebih rela menggunakan kudrat dan sumber sekeliling yang ada.
Setelah rumah milik Siti dan Zamri siap, mereka terus berpindah masuk. Tiada kata yang diucapkan pada si ibu. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tinggallah ibu tua itu berseorangan di pondok using itu. Segala barang keperluannya, dibeli menggunakan wang pencen suaminya. Lelah berbasikal tidak dihiraukan, kerana tiada lagi yang sudi mengambil berat tentang diri tua ini. Siti dan Zamri pula tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke rumah itu. Khabar si ibu juga tidak lagi ditanya. Si ibu dibiarkan hidup keseorangan, malah cucunya juga tidak dibenarkan Siti untuk menemani neneknya. Saban hari Siti hanya berkurung di dalam rumah dan hanya keluar sesekali pada waktu maghrib untuk menyapu sampah di halaman. Semuanya dilakukan agar dia tidak terserempak dengan ibunya. Pernah pada suatu hari, Siti berpakaian cantik untuk menghadiri majlis perkahwinan di hujung kampung. Melihat Siti yang berpakaian cantik, si ibu bertanya,
"Eh, Siti pakai cantik-cantik ni, nak makan kenduri di mana?"
Namun, persoalan yang diluahkan si ibu tidak dijawab, malah Siti hanya diam dan lansung tidak memandang si ibu yang mengharapkan jawapan. Ini bukan kali pertama Siti bereaksi begitu apabila ditanya, malah mungkin sudah berpuluh-puluh kali. Andai kita punya sahabat, dan seorang sahabat memperlakukan kita sebegitu, pasti hati ini rasa marah dan sakit. Namun, kasih si ibu, dia tetap bertahan walau sebegitu layanan si anak terhadapnya.
Tapi tahap kesabaran si ibu jua ada hadnya. Puas adik beradik Siti menasihatkannya agar sentiasa menjaga ibu mereka kerana mereka semua tinggal berjauhan dari ibu kerana mengikut suami masing-masing. Namun, peringatan itu hanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Hanya sesekali adik-beradik Siti yang lain pulang menjenguk ibu mereka, secara bergilir-gilir. Kadang kala ibu mengikut mereka dan tinggal bersama anak-anaknya yang lain, namun selalunya tidak lama, dalam sebulan dua sahaja. Tidak betah dia ingin meninggalkan rumah kenangan bersama arwah suami lama-lama. Tidak ada yang sudi menjaga katanya.
Melihat anak-anak yang lain sanggup bersusah payah deminya, terubat sedikit rasa perit di hati tentang perangai Siti. Siti begitu yakin, bahawa tidak ada ibu yang tidak sanggup memaafkan anak sendiri. Suatu hari, si ibu meluahkan rasa hatinya pada seorang kanak-kanak yang datang membeli laksa dan ais krim yang merupakan sumber pencariannya.
"cu, nanti kalau cu dah besar jaga mak baik-baik, jangan lukakan hati mak. Nenek ada anak yang dekat di mata, tapi jauh di hati. Hari tu, nenek nampak anak nenek bawa balik dua biji buah cempedak, nenek teringin sangat nak makan cucur cempedak, tapi menantu nenek cakap buah tu tak masak lagi, jadi nenek tunggu dan tunggu, tapi tak ada pula mereka nak hulur sikit cempedak tu buat nenek. Hati nenek sedih sebab tak dapat nak makan, tapi mugkin sebab mereka terlupa tentang nenek. Tapi, bila lama tengok layanan anak nenek pada nenek dan andai kata nenek meninggal dunia malam ni tanpa sempat maafkan anak nenek, agaknya apa nasib anak nenek ye cu?"
Anak kecil itu hanya memandang nenek itu dan mengangguk tanda faham.
Kadang kala kita tidak sedar, kita telah melukakan hati seorang insan yang pernah melahirkan dan membesarkan kita. Setiap ibu mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Cukuplah kisah si Tanggang menjadi pengajaran, jangan ulangi kisah Tanggang itu lagi. Hargailah insan bernama ibu,mak,mama,umi,mummy selagi mereka masih bernafas di atas muka bumi Allah ini.

No comments:

Post a Comment